20 June 2016

Resepi Rojak Gerai Tolak

Assalamualaikum. Salam 15 Ramadhan. Sedar tak sedar kita sudah berada di pertengahan Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu. Entri kali ini saya ingin berkongsi resepi rojak serta cara-cara membuatnya. 

Resepi Rojak Gerai Tolak


Semasa saya dibangku sekolah rendah dulu, kira-kira 23 tahun yang lepas.. Wah! Lama ya. Kami sekeluarga menetap di Selayang Baru ketika itu rumah kami berhampiran dengan sekolah rendah agama. Setiap petang, apabila pulang dari sekolah, saya akan mengayuh basikal tua milik mak ronda-ronda kawasan Selayang. Semasa kecil dulu saya ni gemar meronda. Badan kecil kurus kering lagi masa itu. Termengah-mengah kayuh basikal tua yang besar dan tinggi! Saya suka pergi ke rumah kawan. Ataupun saya akan kayuh basikal kemudian parking di tepi bukit. Keluarkan buku. Study. Memang ulat buku waktu itu. Pot favourite saya adalah bawah pokok rambutan. 

Sambil study sambil intai-intai pakcik rojak gerai tolak. Rojak gerai tolak tu memang sedap. Saya yang beri gelaran tersebut kerana gerai pakcik tu boleh bergerak. Setiap petang pakcik rojak akan menolak gerainya dari satu kawasan ke satu kawasan. Bila dia dah penat, dia akan berhenti. Bila hari lewat petang, pakcik rojak akan berkayuh pulang. 

Harga rojak gerai tolak seingat saya pada waktu itu ialah seringgit. Pada masa itu seringgit sudah terlalu banyak bagi saya. Saya perlu menabung untuk membeli rojak! Cukup seringgit saya akan tercegat di hadapan gerai tolak. 

Satu hari, arwah mak pesan pada saya.. "Nanti kalau hang nak pi beli rojak, hang tengok pakcik tu buat rojak macam mana, nanti mak buat,"

Jadi hari itu misi saya berganda. Untuk beli rojak dan untuk hafal cara pakcik rojak buat kuah! Keistimewaan pakcik rojak gerai tolak ini ialah dia tidak membuat kuah rojak di rumah. Dia akan buat semuanya on the spot! Saya hanya memerhatikan saja pakcik buat kuah rojak. Senang sangat! Balik rumah saya cerita pada mak. Mak pun buat. Tapi saya tak adalah nak cerita lengkap pada mak. Yalah, baru berusia 10 tahun ketika itu. Memang budak hingusan lagi. Tak pandai langsung bab masak memasak ni. Cukup saya beritahu kacang, sos cili, gula, kicap, cili padi. Kemudian mak  yang tambah bijan. 

"Buh lenga bagi lemak," kata mak. 

Sejak hari itu, saya makan rojak di rumah sahaja. Mak yang buat. Sampai saya jemu nak makan. Apabila saya menerima tawaran bekerja di UiTM, saya beruntung kerana rakan-rakan sepejabat saya suka sangat buat pot luck. Saya ni memang tak berapa tahu memasak. Tapi saya suka belajar! Satu hari sewaktu mereka merancang untuk buat pot luck, saya bersetuju untuk membawa rojak! Wah.. Dah lama waktu tu saya tak merojak semenjak arwah mak meninggal..

Jadi petang itu ketika pulang ke rumah, saya singgah membeli bahan-bahan untuk membuat kuah rojak seperti dalam resepi saya di bawah. Untuk pembaca blog Cerita Kembara Kami.. resepi Rojak Gerai Tolak ini khas untuk anda! Selamat mencuba!




Buah-buah yang digunakan:

Buah-buahan ini saya ambil yang ada di rumah sahaja. Sikit sahaja kuantitinya. Bolehlah. Lagipun kami sahaja yang berbuka puasa. Kebetulan di Ireland musim panas. Pada musim ini strawberi berbuah. Jadi buah strawberi yang saya guna untuk buat rojak ini saya petik di kebun saya. Buah-buahan ini saya potong ikut saiz yang mudah saya makan.

Timun
Epal merah
Strawberi
Nenas






Resepi kuah rojak:

3 sudu besar gula
3 sudu besar sos cili
7 sudu besar kicap manis
1 sudu besar petis
2 biji cili padi di tumbuk halus
2 sudu besar kacang tanah disangai terlebih dahulu dan ditumbuk kasar
1 sudu bijan mentah

Cara membuat kuah:

Masukkan gula, sos cili, kicap manis, petis, cili padi ke dalam mangkuk. kacau sehingga sebati. Kemudian taburkan bijan mentah dan kacang tanah. Kacau sehingga sebati. Siap! Kuah rojak memang agak pekat. Apabila dicampur buah baru kuah akan jadi sedikit cair. 

Cadangan hidangan: 

Apabila hendak makan, baru dicampur kuah rojak dan buah-buahan untuk elakkan rojak terlalu berair. Setelah dicampur kuah rojak dan buah, tabur sedikit kacang tanah yang telah ditumbuk halus. Selamat mencuba!

Ingin baca resepi Ayam Panggang Madu Perantau? Klik di sini.

Jumpa lagi!

2 comments:

  1. Wah senang jer cara nak buatnya nur..hehehe nur buat akk terliur la pulak bulan2 poser ni nur kikiki..

    ReplyDelete

Back to Top