9 June 2016

Puasa 19 jam - Ini alasan perbezaan waktu berpuasa

Alhamdulillah. Tahun ini masih diberi kesempatan untuk menyambut Ramadhan lagi. Marhaban Ya Ramadhan.. Hari ini merupakan hari keempat muslim di seluruh dunia berpuasa. Seperti tahun-tahun lepas, tahun ini juga kami berpuasa selama 19 jam di Ireland. Rata-rata muslim yang berada di negara eropah berpengalaman untuk berpuasa selama 19 jam kecuali di beberapa buah negara yang perbezaan waktu antara 1 hingga 2 jam. 

Jangkamasa berpuasa 

Jadual menunjukkan jumlah jam berpuasa bagi beberapa negara di dunia.

Sumber: Huffingtonpost.com

Iceland merupakan negara yang paling lama berpuasa. Iaitu lebih 21 jam! Wah.. mesti tak terbayang dek akal bagaimana muslim di Iceland berpuasa. Manakala waktu berpuasa paling pendek pula dirasai oleh muslim yang berada di Chile. Pengalaman berpuasa 'pendek' ini saya pernah alami iaitu ketika berpuasa sunat pada musim sejuk (winter). Azan subuh pada masa itu lebih kurang pukul 6.40 pagi manakala azan Maghrib pula pada pukul 4.00 petang! 

Fakta sains - Mengapa wujud perbezaan waktu berpuasa?

Perbezaan waktu berpuasa dipengaruhi oleh putaran bumi pada paksinya dan juga putaran bumi semasa mengelilingi matahari. Bumi akan berputar pada paksinya selama 24 jam untuk cukupkan 1 tempoh putaran yang lengkap. Bumi berputar 15 darjah setiap 60 minit. Selepas 24 jam, putaran bumi lengkap berputar 360 darjah. Putaran bumi pada paksinya menghasilkan kejadian siang dan malam. Kecondongan paksi bumi menyebabkan negara- negara yang berada di bahagian hemisfera utara atau di hemisfera selatan menerima kadar pencahayaan yang lebih daripada matahari (mengikut kedudukan bumi sewaktu mengelilingi matahari) berbanding dengan negara-negara yang terletak di bahagian tengah. Kejadian ini mengakibatkan waktu siang dan malam berbeza seluruh dunia. Jika matahari berada di atas hemisfera utara, maka negara-negara di hemisfera utara mengalami waktu siang yang lebih panjang berbanding negara-negara di bahagian tengah. Manakala negara-negara yang berada di hemisfera selatan akan mengalami waktu malam yang lebih panjang.

Sumber : www.plantsgalore.com

Kejadian inilah punca perbezaan waktu berbuka puasa yang ketara antara negara Iceland dan juga Chile.

Malam 'dimasukkan' ke dalam siang


QS 3. Ali 'Imran 27. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam. Dan Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau berikan rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa perhitungan.

QS 35. Faathir 13. Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Yang (berbuat) demikian itulah Allah Tuhanmu, kepunyaan-Nyalah kerajaan. Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tiada mempunyai apa-apa walaupun senipis kulit ari.

QS 31. Luqman 29. Tidakkah kamu memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia tundukkan matahari dan bulan masing-masing berjalan sampai kepada waktu yang ditentukan, dan sesungguhnya allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

QS 25. Al Furqaan 62. Dan Dia (pula) yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur.


Petikan surah-surah dari Al-Quran ini menceritakan fanomena yang berlaku di hemisfera utara dan selatan yang mana jika malam di masukkan ke dalam siang menjadikan waktu siang lebih panjang (Waktu sekarang di Ireland: Fajar lebih kurang pukul 3.06 pagi, matahari terbit pada pukul 5.06 pagi - sudah terang benderang dan terbenam sekitar pukul 10 malam. Biasanya di Malaysia pukul 8 malam sudah gelap apatah lagi pukul 10 malam. Tetapi di Ireland waktu malamnya sudah 'dimasukkan' ke dalam waktu siang. Jadi pukul 9 malam masih lagi cerah!


Bagaimana rasa berpuasa 19 jam?

Secara jujurnya, berpuasa 19 jam tidak mendatangkan sebarang masalah. Dahulu ketika di Malaysia saya juga tidak dapat bayangkan bagaimana seorang muslim boleh berpuasa sebegitu lama sedangkan saya di Malaysia terasa letih sepanjang berpuasa. Kali pertama berpuasa di bumi Shamrock ini agak mencabar. Memang letih. Namun lama-kelamaan saya terbiasa dengan keadaan ini. Tahun ini merupakan tahun ketiga saya berpuasa di eropah. Nampaknya pada tahun ini saya lebih kuat dari tahun-tahun sebelumnya. Kenapa ya? Kuasa minda?? Saya tinggalkan anda dengan petikan dari surah Al-Quran yang boleh menjawap bagaimana muslim di negara luar boleh berpuasa begitu lama.


QS 2. Al Baqarah 286. Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami salah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami apa yang tidak sanggup kami menanggungnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkau penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Wallahu a'lam

Buat rakan-rakan di Malaysia dan di seluruh dunia, walau di mana anda berada, kita berada di bawah langit Ramadhan yang sama. Selamat menunaikan ibadah puasa dan ibadah sunat yang lain. Salam Ramadhan - Cerita Kembara Kami di bumi eropah.






Inginkan tips melancong di bersama anak-anak kecil di eropah? Boleh baca di sini. (KLIK)

Baca pengalaman pertama kali berpuasa 19 jam di sini. (KLIK)





3 comments:

  1. Inspiring dan sgt sarat info. Tq utk info menarik ni..

    ReplyDelete
  2. Setuju. Segala yang berlaku tidak lah hanya sia-sia.. pasti ada hikmahnya. Salam Ramadhan!

    ReplyDelete

Back to Top