29 June 2016

Genap sebulan menjadi ahli KBBA: Ini cerita saya

Assalamualaikum dan selamat pagi. Entri khas ini sebagai penghargaan kepada Kelab Blogger Ben Ashaari. Hari ini merupakan genap sebulan saya berada dalam KBBA sebagai ahli. Walaupun menjadi ahli jarak jauh (Ireland-Malaysia) namun terlalu banyak pengalaman yang saya belajar di sini. Banyak benar terma-terma tentang dunia blogger saya belajar dari rakan-rakan blogger antaranya ialah UV, PV, GA, SEO, BS dan WP. Ada lagi sebenarnya cukuplah yang asas sahaja. 

Mula berjinak dunia penulisan

Jujur saya katakan sebelum ini saya memang langsung tidak tahu menahu tentang 'dunia blogger'. Kali pertama saya menulis blog sekitar tahun 2007. Pada masa itu saya fikir blogspot ini ialah online diary yang boleh kita tulis cerita tentang diri sendiri seperti di buku diari biasa. Beberapa entri saya letak kemudian saya tinggal lama blog tanpa berusik. Kerana waktu itu saya sedang berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Saya suka menyertai sayembara menulis novel atau cerpen pada masa itu. Masih ingat lagi ketika dapat wang saguhati bernilai RM 200 sewaktu di sekolah menengah kerana menyertai pertandingan menulis cerpen. Kalau tidak silap saya anjuran biro Angkasa. Cikgu Faridah cikgu BM yang suruh saya masuk. Sayang cikgu punya pasal saya siapkan cerpen bertajuk 'Imbauan'. Alhamdulillah menang hadiah saguhati. RM 200 sudah cukup banyak bagi saya! 

Kali kedua menyertai pertandingan menulis ialah anjuran DBP. Sayembara menulis novel. Untung ada blogger yang menulis berita tentang ini. Dapatlah saya simpan buat kenangan. 



Pemenang hadiah saguhati. Karya: Klon ESC. Itulah saya! Sewaktu dapat RM 750 memang sangat bersyukur. Tambah-tambah saya amat memerlukan duit ketika itu untuk bayar yuran pengajian Master di UTM. Saya ada terima pelawaan menerbitkan novel tersebut dengan pihak DBP. Namun oleh kerana salah faham dalam komunikasi tambahan pula saya sedang sibuk menyiapkan tesis Master maka hasrat menerbitkan novel tersebut terkubur. Sedih. Memang sedih. Namun terubat bila selesai menyiapkan tesis Master. Alhamdulillah. 


Dunia penulisan cerpen

Bagi mengubati kekecewaan tidak dapat bekerjasama dengan pihak DBP untuk menerbitkan novel Klon ESC, saya mula berjinak-jinak menulis semula. Saya ada menyertai bengkel penulisan anjuran DBP di Hotel De Palma Ampang selama 3 hari. Untuk menyertai bengkel ini, peserta perlu menyiapkan cerpen. Cerpen yang terpilih akan dipilih untuk menghadiri bengkel. Alhamdulillah cerpen saya terpilih. Cerpen bertajuk 'Kalau Tidak Kerana Bulan'. Sepanjang bengkel tersebut kami dilatih oleh Puan Zaharah. Puan Zaharah terlalu baik. Selalu memberi semangat. Sehingga tamat bengkel pun Puan Zaharah selalu menghubungi kami dan terus memberi galakan untuk terus menulis. Kali pertama saya mencuba nasib menghantar cerpen kepada pihak Utusan namun tiada rezeki ketika itu. Cerpen bertajuk Cinta Teragung itu akhirnya saya abadikan di Facebook saya setelah 2 tahun saya simpan dalam laptop.



Sewaktu itu saya sudah mengajar di UiTM. Saya berhenti menulis kerana tiba-tiba ada pelajar datang menegur saya bertanyakan sama ada blog tersebut milik saya atau tidak. Kerana malu saya menafikannya lantas terus memadam blog tersebut. Pemalu kan saya? Hahaha. 

Apabila rindu bertamu..

Kemudian rindu dalam bidang penulisan hadir kembali. Saya layari internet dan terjumpa laman web tempat berkongsi cerpen dan novel iaitu Penulisan2U. Maka saya pun terdetik untuk menulis sekali lagi. 



Terhasillah 'Syahadah Kasih'. Kali pertama saya mencuba. Alhamdulillah diterima. Namun saya amat terkejut dengan komen yang diberikan pembaca. Rata-rata memberikan komen yang negatif. Mungkin gaya penulisan saya memang teruk. Namun saya tidak patah semangat. saya terus hantar lagi. Kali kedua. Kali ketiga. Kali keempat. Cerpen yang berbeza. Namun tidak diterbitkan. OK. Saya redha. 

Seperti biasa bagi mengubati kekecewaan, saya kembali ke dunia blogging dengan novel bersiri dan ala syok sendiri saya.


Dan kemudian kerana terlalu sibuk menyiapkan research untuk pengesahan jawatan di UiTM, sekali lagi minat ini berkubur. Lebih malang, saya terlupa langsung email apa yang saya guna kali pertama membina blog ini. Email lupa, password apatah lagi. Jadi novel bersiri online saya ini tidak sempat siap. Tidak boleh siap kecuali saya buat yang baru. Kerana saya tidak boleh lagi akses ke blog ini. 


Kembali menemui cinta hati

Masa berlalu. Minat kian pudar sehingga tiba suatu hari. Awal tahun 2015. Encek z menyuruh saya menyambung blognya yang sudah setahun terbiar. Ah! Malas rasanya nak menulis kembali. Blog yang dibuat encek Z untuk menyimpan koleksi gambar kami melancong. Mahu tidak mahu saya terpaksa juga menulisnya untuk kenangan anak-anak. Kian lama menulis minat tiba-tiba muncul kembali!

Menyertai KBBA

Kali pertama terjumpa tentang KBBA di blog Tiffin Biru. Bila menetap di Ireland saya mula belajar memasak. Sebab itulah blog masakan menjadi laman utama saya setiap hari. Saya adalah salah seorang peminat blog Che Mat Gebu. Suatu hari saya terperasan hashtag Kelab Blogger Ben Ashaari di banner dalam blog Che Mat. Saya wonder juga ketika itu. Wah! Ada kelab blog. Pertama kali saya dengar. Biasa kelab rekreasi, kelab fotografi. Tapi kerana sibuk menguruskan anak-anak saya tidak cari maklumat lanjut tentang kelab blogger ini sehinggalah pada awal Mei 2016. Saya fikir pada waktu itu, saya perlu ada rakan-rakan dalam dunia penulisan supaya saya tidak kuburkan lagi minat saya. Maka pada 31 Mei 2016 saya mesej 'Tuan Punya' kelab iaitu Ben Ashaari.



Kemudian bermulalah detik pertama berkenal-kenalan dengan ahli-ahli KBBA. Mereka sporting. Peramah. Tidak lokek berkongsi ilmu. Saling sokong menyokong. 



Blog review ini dibuat oleh blogger Saidila. Saya amat terharu membacanya! Anda boleh membacanya di sini.  Saidila banyak membantu saya dan memberi galakan untuk terus menulis blog. Umpama mentor dan sahabat saya. 

Ini kisah saya yang mula kembali berjinak-jinak dalam dunia blogging. Ini kehidupan saya dan saya selesa di sini berkongsi ilmu dengan para pembaca. Terima kasih encek z selaku web designer saya, walaupun sibuk dengan urusan kerja seharian. Juga kepada pembaca yang sudi berkunjung ke blog saya - Cerita Kembara Kami. Sekalung penghargaan buat Ben Ashaari dan rakan-rakan dalam KBBA. Masih banyak yang perlu saya belajar. Dan cerita saya bermula di sini..



Nota:
Venice merupakan entri yang menyebabkan saya ingin kembali menulis walaupun entri ini encek z yang mula-mula menulisnya, saya hanya menyambung sahaja mana yang belum sempat siap.. Anda boleh membacanya di sini.


7 comments:

  1. wah
    ..kak nur semoga ukhwah kita selamanya wpun ada masanya blog bersawang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe.. insya allah.. terima kasih nani

      Delete
  2. Teruskan menulis, satu hari nanti InsyaAllah anak anak akan baca. Jd mcm kenangan yg bakal ditinggalkan utk diorang :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insyaallah.. betul tu..kenangan..

      Delete
  3. Reen pun macam kak nur.. Buat blog, pastu tinggal.. Kali ni in sya Allah tak tinggal. Hihihi

    ReplyDelete

Back to Top