20 June 2016

Berbuka Puasa Dengan Pak Arab

Alhamdulillah. Semalam berkesempatan berbuka puasa dengan komuniti Islam di Athlone. Kami yang muslim di Athlone ini tidaklah ramai sangat jika dibanding dengan muslim di bandar-bandar besar di Ireland seperti di Dublin, Cork dan Galway. Tapi cukuplah untuk tunaikan solat Jumaat di masjid kecil yang disewa di bawah kedai.


Persiapan untuk berbuka

Ini kali pertama keluarga kami berbuka puasa bersama komuniti Islam di sini walupun sudah beberapa kali berpuasa di Ireland kerana sebelum ini kami hanya berbuka puasa di rumah ataupun berkumpul bersama rakan-rakan Malaysia yang tinggal berhampiran dengan kediaman kami. Kebiasaannya, jika berkumpul bersama rakan-rakan Malaysia, kami bersepakat dalam menyediakan juadah berbuka puasa secara Pot Luck. Tetapi malam semalam, saya tidak membawa apa-apa juadah kerana pernah dulu berkumpul dengan orang-orang Arab Athlone, saya membawa kuih bakar pandan tetapi tidak dijamah kerana mereka tidak biasa dengan kuih tradisi kita. Jadi malam semalam saya bercadang pergi dahulu untuk melihat suasana berbuka puasa di situ.




Maghrib di Athlone sekitar pukul 10.10 malam. Kami keluar rumah pukul 9.40 malam. Hanya 5 minit sahaja kediaman kami dari masjid berkenaan. Pesan imam supaya hadir 10 minit sebelum waktu berbuka kerana sebelum itu masjid masih tutup.


Pelbagai menu disajikan


Sewaktu kami tiba di masjid, kariah sudah mula penuh. Saya dan Sarah ke ruangan jemaah muslimah manakala encek Z ke ruangan muslimin bersama Adam dan Ilman. Saya duduk di sebelah jemaah bukan orang Arab. Seorang Polish. Seorang lagi Irish. Pada mulanya saya kira mereka muslim namun mereka sebenarnya Katolik. Mereka hadir untuk memeriahkan lagi suasana Iftar. Lima minit kemudian sampai satu keluarga. Gayanya seperti orang arab. Makcik Arab itu duduk di sebelah saya. Dia cukup ramah dan baik. Berasal dari Mesir. Dia bawa banyak juadah antaranya kuih yang diperbuat dari Semolina dan juga kek mini. Apabila azan Maghrib, saya ingin ambil buah kurma tetapi saya lihat jemaah lain hanya duduk diam sambil mulut terkumat-kamit menjawap azan. Jadi saya buat perkara yang sama seperti mereka. Selesai azan baru mereka ambil buah kurma. Makcik arab itu mempelawa saya dan dua orang 'orang putih' tadi untuk merasa kuih Semolina. Sedap! Rasa manis, rangup di luar, gebu di dalam. Saya tidak mengambil gambar kerana saya khuatir melanggar sensitiviti mereka kerana saya berada di ruang solat muslimah. Ada salad yang dicampur roti dan sayur-sayuran dan juga ayam Tandoori. Sedap ayamnya. Masam masam pedas!


Churros dan ayam Tandoori

10 minit selepas berbuka puasa dengan buah kurma dan kuih kami dijamu pula dengan nasi Arab dalam dulang besar! Ada kambing dan ayam. Wah! Jemaah di ruangan muslimah tidak ramai seperti mana di ruangan muslimin. Jadi nasi banyak lagi lebih. Tapi tidak mengapa kerana ada yang bungkus bawa balik untuk elak pembaziran.

Nasi arab dimasak oleh Imam Abdul Rahim



Ayam panggang yang sedap!


Selesai berbuka puasa kami mengerjakan solat Maghrib secara berjemaah. Waktu Isya' masuk lebih kurang pukul 11.40 malam. solat Terawih akan dilakukan lebih kurang pukul 12 malam dan selesai pada pukul 1 lebih. Kami pulang dahulu untuk solat Isya' dan terawih di rumah kerana Adam, Ilman dan Sarah sudahpun mengantuk.

Minggu depan ada lagi majlis berbuka puasa dengan komuniti Islam di Athlone. Saya sedang berkira-kira ni nak masak apa. Kuih kapal terbang atau karipap? Eh, yang mana orang Arab suka ya?

Terima kasih kerana mengunjungi blog saya. Ingin baca pengalaman saya berpuasa di Ireland? Klik untuk baca di sini.


2 comments:

Back to Top