22 April 2016

Catatan Perjalanan - Prague, Republik Czech


Akhirnya kami tiba di Little Venice. Hari ke 6 misi kembara Eropah setelah melihat kesan tinggalan tamadun lama, senibina Baroque, budaya masyarakat tempatan dan kemajuan teknologi di Mainz, Frankfurt, Stuttgart, Munich, Salzburg dan Vienna. Sungguh luas terbentang bumi Allah ini. Pelbagai ragam makhluk ciptaanNya.  

Little Venice ialah nama jolokan bagi Prague. Kota lama tumpuan utama pelancong yang berkunjung ke Republik Czech (Ceska Republika). Sebuah bandar yang sibuk di jalanraya, sesak di kawasan pejalan kaki. 

Perjalanan kami dengan menaiki kereta dari Vienna ke Prague melalui kawasan kincir angin, tasik biru yang luas.. saujana mata memandang.



Tiba di Prague, mata dijamu dengan pemandangan Charles Bridge yang cukup indah. Sungguh tenang. Charles Bridge merupakan landmark yang popular di Prague. Di bina sekitar tahun 1357 merentangi sungai Vltava di bawah pemerintahan King Charles IV.


Kemudian kami singgah makan malam di Bodrum Doner-Kebab yang terletak betul-betul berhampiran Charles Bridge. Mencari makanan halal di Prague tidaklah sukar, ada sahaja restoren Turki yang menjual makanan halal. Bakeri roti orang tempatan juga ada. 


Di Bodrum, kami beli Doner Wrap yang berharga CZK 130. Memang sedap. Oh ya, Prague menggunakan matawang Koruna. 

Kemudian kami terus ke Wellness Hotel Step yang terletak di Malletova lebih kurang 8 km dari Charles Bridge. Hotel di tengah-tengah kota Prague terlalu mahal. Ada perkhidmatan Airbnb yang murah tetapi tidak sesuai untuk anak-anak kecil. Tambahan pula tiada kemudahan parking yang selamat membuatkan kami bersetuju bermalam di luar kota.

Berlatarbelakang Charles Bridge

Keesokannya, kami keluar lebih kurang pukul 9.00 pagi setelah bersarapan di hotel. Harga hotel termasuk sarapan pagi hanya Eur 56 (1513 CZK) sahaja untuk kami berlima. Kami tempah menggunakan booking.com. Destinasi dan aktiviti yang kami rancang dalam itinerari Prague banyak yang berubah gara-gara demostrasi aman yang dilakukan oleh rakyat negara China di sekitar bandar Prague. Banyak jalan di tutup. Kiri kanan ada anggota polis bersiap sedia. Jadi kami layan sahaja apa-apa yang ada di depan mata.

Semasa berjalan kaki menuju ke Charles Bridge kami didekati penjual tiket Boat Tour. Harga yang ditawarkan agak istimewa iaitu CZK 290 untuk seorang dewasa. Percuma untuk kanak-kanak. Tiket bot ini boleh digunakan untuk masuk percuma Charles Bridge Museum. Ada aiskrim, kek, air coklat panas dan air kopi yang juga diberi percuma semasa di atas bot. 

Inilah bot yang kami naiki selama 40 minit melalui sungai Vltava dan juga masuk celah-celah bangunan.
Adam memang enjoy boat tour!

Pemandangan di sungai Vltava
Selesai menyusuri sungai Vltava, kami menyeberangi Charles Bridge untuk ke kota lama. Charles Bridge hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki sahaja. Banyak jualan cenderamata di kiri kanan jambatan. Jika ingin bergambar kenangan di atas jambatan seeloknya keluar awal pagi supaya tidak bersesak-sesak di atas jambatan.




Pemandangan kota Prague dari atas jambatan. Sungguh luas sungai Vltava ini. Banyak juga jambatan yang dibina merentangi sungai. Jambatan lain boleh dilalui oleh kenderaan. Cuma Charles Bridge sahaja dikhaskan untuk pejalan kaki.



Setibanya kami di kota lama Prague, kami singgah lunch di Milan Pizza Kebab Home. Kedai Halal pertama yang kami jumpa selepas dari pintu gerbang. Harga kebabnya CZK 130. 

Makan di luar kedai sahaja. Tiada meja dan kerusi disediakan.

Di kawasan ini terdapat banyak kedai cenderamata. Kedai cenderamata yang terletak berhampiran pintu gerbang menawarkan harga mahal sedikit dari kedai yang lain. Jika ingin membeli cenderamata, teruskan perjalanan ke Astronomical clock. Sebelum sampai di Astronomical clock, banyak lagi kedai cenderamata yang harganya ok. Tetapi, sampai sahaja di kawasan Astronomical clock, harga cenderamata yang dijual kembali mahal. 

Nampak tak permainannya? Pintu gerbang (mahal) - pertengahan jalan (murah) - semakin menghampiri Astronomical clock (mahal) ... Hahaha..

Terapung di udara

Kereta antik menunggu penumpang. Mahal juga nak sewa untuk pusing kota Prague. Beratus harganya.

Sebelum ke Astronomical clock, kami ke Lennon wall dahulu yang terletak di Velkopřevorské náměstí (Grand Priory Square) , Malá Strana . Lennon wall ini hanyalah dinding biasa yang dibina sekitar tahun 1980. Apa yang istimewa pada awalnya ialah dinding ini ada potret dan hasil karya oleh John Lennon. Ada juga bait-bait lagu dari kumpulan Beatles yang begitu popular suatu masa dahulu. 

Pada tahun 1988, Lennon wall digunakan sebagai medium untuk meluahkan rasa tidak puas hati oleh golongan muda(terdiri dari golongan pelajar) terhadap pemerintahan rejim komunis Gustáv Husák. Pergerakan pelajar-pelajar ini dikenali sebagai Lennonism. Pernah berlaku pertembungan antara pelajar-pelajar ini dengan pihak polis di kawasan Charles Bridge. Pihak berkuasa Czech pada masa itu menyifatkan golongan pelajar ini sebagai ejen kapitalisme barat, sociopathic dan berpenyakit mental.

Lukisan-lukisan asal dinding seperti potret asal Lennon sudah tidak kelihatan lagi. Pelbagai contengan baru yang dibuat oleh orang ramai. Dinding ini sudah banyak kali dicat semula oleh pihak berkuasa. Kini, Lennon wall berfungsi sebagai simbol cinta dan keamanan.

Dinding ini dimiliki oleh Knights of Malta

Jika dilihat dengan mata kasar, Lennon wall ini hanya dinding/tembok usang yang lama dan penuh dengan contengan. Memang tidak nampak istimewanya. Setiap pengunjung yang hadir ke sini pasti membuat sedikit coretan kenangan. Sewaktu kami tiba di sini, kebetulan ada seorang pemandu pelancong (wanita) yang sedang menceritakan sejarah Lennon Wall. Wanita itu amat marah dengan sikap pelancong yang suka menconteng dinding semata-mata untuk meninggalkan kenangan di Prague. 

Kemudian kami teruskan berjalan menuju ke kawasan Astronomical clock. Kawasan ini memang padat dengan pelancong.

Easter market berhampiran astronomical clock

  
Padat dengan manusia! Semua menunggu jam besar ini berbunyi. Patung Ayam akan berkokok.

Inilah Astronomical clock. Jam besar pelbagai fungsi. Jam ini dibina pada tahun 1410 merupakan jam astronomi yang ketiga di dunia dan yang paling lama usianya namun masih beroperasi hingga kini. 

Astronomical clock

Di jam ini ada Astronomical dial yang mewakili kedudukan matahari dan bulan yang memaparkan zodiak. Lagenda tentang Astronomical clock menceritakan pencipta jam ini dikenali sebagai Hanuš telah dibutakan matanya oleh pemerintah supaya beliau tidak dapat membuat jam yang mirip dengan jam ini lagi. Sebagai balasan, beliau telah merosakkan Astronomical clock dan tiada siapa dapat membaikinya sehinggalah tahun 1552. Jam ini dibaiki oleh Jan Taborský. Punca utama jam ini masih dijaga dan elok berfungsi kerana kepercayaan masyarakat tempatan tentang  bala jika jam ini berhenti berfungsi.  

Merakam gambar suasana di perkarangan Astronomical clock

Antara cenderamata yang popular di sini ialah replika astronomical clock. Jam dinding yang diukir ala-ala astronomical clock. Dijual disemua kedai cenderamata. Harganya berbeza-beza mengikut lokasi kedai. Hahaha...  Jam yang paling besar boleh dijual dengan harga CZK 890 sehingga CZK 1200. Jam yang kecil berharga sekitar CZK 200++. 

Pelbagai cenderamata yang dijual- rambang mata melihatnya!

Antara roti yang popular di sini selain daripada pretzel ialah roti lilit ini. Sedap!! ada yang kosong. ada yang diletakkan krim. Ada juga yang dicalit coklat. Kami pilih yang kosong sahaja. Gula dan serbuk cinnamon.. dimakan panas-panas... pergh! Memang terbaik! Oh! Ya.. nama roti ini ialah Trdelnik.  
Trdelnik.. sedap sangat..


Sebelum meninggalkan kota Prague, kami ingin tunjukkan anda sesuatu! Jika manusia mampu menari, bangunan juga begitu! Ah ha!

Dancing House

Selamat tinggal kota Prague! 


Bangunan lama di Prague. Cantik warna dan unik pula bentuknya



Jumpa kami di destinasi seterusnya... Berlin!



1 comment:

  1. As-Salam,

    Sebuah perjalanan yang menarik. Saya nak tanya jika memandu memasuki Republic of Czech, adakah kita perlu mendaftar di sempadan negara dan bagaimana pula untuk membayar kadar toll di negara berkenanaan

    ReplyDelete

Back to Top